Wednesday, December 05, 2012

untung la orang perempuan kalau dapat cari bakal suami gini...


Spesifikasi calon suami yang bolehlah dibuat suami:-
1. Solat fardhu cukup 5 waktu.
2. Ada kerja gaji RM800-1500 ke atas, boleh bayar rumah sewa, boleh beli beras, boleh isi minyak, boleh antar ke tempat keje. Nafkah zahir boleh bagi, bukan nafkah batin je tau.
3. Ada kenderaan: moto kapcai dah cantek. honda EX5 orait sangat la tu dengan 2 helmet. Basikal pun boleh, tapi penat kayuh kalau dari Bangsar ke KLIA. Sebaik-baiknya kereta, sebab nanti nak bawa isteri yang mengandung ke klinik setiap bulan.
4. Lulus ujian fardhu ‘ain sekolah rendah. Maknanya boleh mandi wajib dengan baik dan boleh ajar isteri mandi wajib dengan betul, apatah lagi mandi-mandi yang lain.
5. Boleh baca al-Quran dan boleh mengajar al-Quran walaupun setakat “Alif Ba’ Ta’” sampai Surah “Iqra’ Bismirabbikallazi Khalaq.”
6. Jenis lurus, baik & hati baik, tak menipu. Tadelah sampai menipu kata nak pergi Mydin tapi pergi mengorat jiran taman sebelah.
7. Dia paham kamu, kamu paham dia. Paham jiwo gitu. Serasi bersama. Berbeza tapi boleh masuk.
8. Gedik joget-joget pun depan bini dan anak-anak je. Depan orang lain sopan santun gitu.
9. Jenis tak cemburu buta sangat. Cemburu macam ni ok, “Ehemm..ramainya kawan laki kat opis.. Jangan sampai lupa abang taw..”
10. Belajar takat PMR je pun takpe, janji cara dia fikir tu matang dari yang belajar PhD.
11. Kalau dia jenis diam tak delah sampai orang kata tak bergaul dengan manusia lain. Kalau dia banyak bercakap pun tadelah sampai dia mengata-ngata orang lain.
12. Malas juga ke masjid, tapi dia pergi gak dalam sehari tu 2 kali sekurang-kurangnya Maghrib dan Isyak.
13. Walaupun tak kerap ke kuliah agama, tapi bila tengok Youtube Ustaz Azhar Idrus ngajar tu sampai terlupa nak tengok bola. Jika ada kuliah di masjid muka dialah ada di antara orang-orang kampung.
14. Boleh susah senang bersama. Kalau isteri nangis, dia tolong riba isteri dan tenangkan. Kalau isteri sakit, dia tolong jaga dari malam sampai pagi.
15. Jenis senyum sokmo.
16. Tak tengok sangat awek cuns, duk tengok bini dia je walaupn bini dia tak cuns (Tak cun tak pe, boleh tutup lampu – UAI)
17. Pandai masak sekurang-kurangnya masak nasi dan goreng telur, ayam, ikan, nasi goreng, nasi goreng hailam dll. Kalau dia tak sempat nak masak sekalipun, dia takkan makan kat McD atau tempat-tempat makan yang pelik-pelik nama dia menu yang mahal-mahal sebab dia tahu keje dia gaji tak banyak. Makan nasi lemak kat gerai lagi ok pe.
18. Rajin. Ringan tangan tolong isteri. Kadang2 tolong kemas rumah, sapu sampah, sidai kain, memasak. Tapi janganlah poyo sangat sampai kawan-kawan isteri datang pun, tolong gorengkan pisang kat dapur untuk raikan tetamu.
19. Jenis pembersih gak la. Masa muda-muda dia tak de la jenis pakai seluar jeans busuk berminggu-minggu tak basuh. Bau badan tu jaga. Kena bersih sebab hari-hari nak ngadap Allah, bukan nk wangi depan manusia je.
20. Sehari sekali ingatkan bini dan anak-anak tentang kematian dan amalan agama. “Sayang, tengok jam tu. Ha, bila kita tengok jam.. Ingatlah detik kematian tu makin hampir.”
21. Dia sentiasa nak berubah bersama-sama isteri dan anak-anak dia. Berubah jadi lebih soleh dari sehari ke sehari.


Tuesday, November 20, 2012

Satu Hubungan Pasti Ada Pasang Surutnya..Belum Tentu Sentiasa Bahagia


Saya rasa anda mungkin pernah mendengar bahawa kehidupan kita ini adalah seperti sebuah roda yang berputar. Sekejap kita berada di atas, sekejap kita berada di bawah. Sekejap kita hidup senang, dan sekejap kita hidup susah. Proses ini berulang-ulang sama seperti sebuah roda yang berputar tanpa henti.
Begitulah juga dengan perhubungan kita bersama dengan pasangan. Ianya sama seperti sebuah roda, seperti kehidupan yang kita lalui. Kadang-kadang kita rasa gembira dengan pasangan kita. Tetapi ada masanya, kita akan berasa sedih.
Macam-macam perkara boleh berlaku dalam berpasangan. Ketika ‘roda’ kita berada di atas, segalanya adalah kegembiraan. Kita rasa gembira apabila dapat berjumpa dengan si dia, berjalan bersama-sama, menonton wayang bersama-sama, berkongsi kisah dan cerita, dan meluangkan masa bersama dengannya.
Tetapi, apabila ‘roda’ kita berada di bawah, segalanya hanyalah kesedihan. Mungkin disebabkan berlakunya perselisihan faham, terasa dengan sikap pasangan, atau berkecil hati menyebabkan perhubungan itu tidak manis dan menjadi hambar. Pada waktu itulah kita sedar bahawa tidak segalanya indah dalam berpasangan. Langit yang cerah tidak akan sentiasa cerah tanpa mendung dan hujan.

Bagaimana menghadapi ketika ‘roda’ berada di bawah?

Setiap yang berlaku ada hikmahnya yang tersendiri. Allah swt tidak menurunkan hujan untuk menyusahkan hambaNya. Tetapi adalah untuk kebaikan hambaNya jika mereka mengetahui. Hujan yang turun adalah untuk menyuburkan hasil tanaman, membasahkan tanah yang kering kontang, dan agar hambaNya dapat minum dari air yang diturunkan ke Bumi.
Begitulah juga dengan keadaan apabila anda sedang mengalami masalah dengan pasangan anda. Apa yang berlaku sudah semestinya ada hikmahnya yang tersendiri. Pada waktu inilah anda perlu menilai semula perhubungan anda agar ianya dapat diperbaiki. Di antara yang boleh anda lakukan adalah:
1. Muhasabah diri – Ambil peluang ini untuk muhasabah dan menilai diri anda. Cuba selidik semula sepanjang perkenalan, adakah anda pernah menyakiti hatinya? Adakah anda pernah membuatkan si dia terasa, berkecil hati, atau anda pernah berselindung sesuatu dengannya? Selidik dan imbas semula satu persatu kesalahan yang pernah anda lakukan.
2. Perbetulkan mana yang silap – Dalam muhasabah diri itu, sudah semestinya anda akan jumpa beberapa kesilapan yang pernah anda lakukan. Perbetulkan kesilapan itu dan jangan ulanginya semula. Walaupun anda tahu si dia pun ada membuat kesilapan pada diri anda, tetapi perbetulkan terlebih dahulu diri anda sebelum anda membetulkan orang lain.
3. Memohon maaf dan sedia memaafkan – Setiap kesilapan yang dibuat, jika anda ada terkasar bahasa, terlepas kata, mohon maaflah kepada pasangan anda. Setiap insan sudah semestinya akan membuat kesilapan. Jalan yang terbaik adalah memohon maaf kepadanya. Namun begitu, anda juga perlu bersedia memaafkan pasangan anda sekiranya si dia memohon kemaafan. Janganlah berdendam hati atau menyimpan hasad dengki kerana ianya amat menyakitkan. Maafkanlah kesalahannya agar anda berasa lega dan terlepas daripada amarah dalam dada.
4. Jadikan apa yang berlaku untuk mematangkan perhubungan anda – Seperti yang saya katakan tadi, setiap yang berlaku sudah pasti ada hikmahnya. Pasti ada kebaikanya yang tersendiri. Ambil iktibar dari masalah ini agar ianya tidak berulang lagi dan dapat mematangkan perhubungan anda. Sekiranya perkara yang sama berlaku, ambil jalan yang betul untuk selesaikan masalah tersebut supaya ianya tidak menjadi parah dan semakin teruk.

Apabila ‘roda’ kembali ke atas

Saya tertarik untuk berkongsikan sebuah kata-kata yang dipetik dari filem Syurga Cinta,
“Kadang-kadang Allah sembunyikan matahari,
Dia datangkan petir dan kilat,
Kita tertanya-tanya ke mana hilangnya matahari,
Rupa-rupanya Allah memberi kita pelangi…”
Tidak semestinya kesulitan yang dialami itu akan kekal selama-lamanya. Sudah semestinya kita akan berjumpa dengan kesenangan dan kegembiraan.
Tetapi apabila anda berjaya keluar dari situasi ‘roda’ di bawah, jangan mudah lupa diri. Beringatlah ketika anda sedang bersedih, ketika anda berada di bawah. Jangan terlalu gembira dengan kesenangan yang diperoleh. Bersyukurlah kepada Allah swt kerana mengeluarkan anda daripada kesulitan yang dilalui.
Anda perlu ingat, roda sentiasa berputar. Akan tiba masanya juga, anda akan kembali semula ke bawah. Pada waktu itu, kegembiraan yang ada tidak bermakna lagi.
Oleh itu, walau di mana keadaan pun anda berada, beringatlah dan bersyukurlah kepada Allah swt. Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Gunakanlah peluang yang ada dengan sebaiknya. Mudah-mudahan perhubungan itu akan kekal dan bahagia selama-lamanya. InsyaAllah…

Credit Kepada : LINK NIE!!