Saya rasa anda mungkin pernah mendengar bahawa kehidupan kita ini adalah seperti sebuah roda yang berputar. Sekejap kita berada di atas, sekejap kita berada di bawah. Sekejap kita hidup senang, dan sekejap kita hidup susah. Proses ini berulang-ulang sama seperti sebuah roda yang berputar tanpa henti.
Begitulah juga dengan perhubungan kita bersama dengan pasangan. Ianya sama seperti sebuah roda, seperti kehidupan yang kita lalui. Kadang-kadang kita rasa gembira dengan pasangan kita. Tetapi ada masanya, kita akan berasa sedih.
Macam-macam perkara boleh berlaku dalam berpasangan. Ketika ‘roda’ kita berada di atas, segalanya adalah kegembiraan. Kita rasa gembira apabila dapat berjumpa dengan si dia, berjalan bersama-sama, menonton wayang bersama-sama, berkongsi kisah dan cerita, dan meluangkan masa bersama dengannya.
Tetapi, apabila ‘roda’ kita berada di bawah, segalanya hanyalah kesedihan. Mungkin disebabkan berlakunya perselisihan faham, terasa dengan sikap pasangan, atau berkecil hati menyebabkan perhubungan itu tidak manis dan menjadi hambar. Pada waktu itulah kita sedar bahawa tidak segalanya indah dalam berpasangan. Langit yang cerah tidak akan sentiasa cerah tanpa mendung dan hujan.
Bagaimana menghadapi ketika ‘roda’ berada di bawah?
Setiap yang berlaku ada hikmahnya yang tersendiri. Allah swt tidak menurunkan hujan untuk menyusahkan hambaNya. Tetapi adalah untuk kebaikan hambaNya jika mereka mengetahui. Hujan yang turun adalah untuk menyuburkan hasil tanaman, membasahkan tanah yang kering kontang, dan agar hambaNya dapat minum dari air yang diturunkan ke Bumi.
Begitulah juga dengan keadaan apabila anda sedang mengalami masalah dengan pasangan anda. Apa yang berlaku sudah semestinya ada hikmahnya yang tersendiri. Pada waktu inilah anda perlu menilai semula perhubungan anda agar ianya dapat diperbaiki. Di antara yang boleh anda lakukan adalah:
1. Muhasabah diri – Ambil peluang ini untuk muhasabah dan menilai diri anda. Cuba selidik semula sepanjang perkenalan, adakah anda pernah menyakiti hatinya? Adakah anda pernah membuatkan si dia terasa, berkecil hati, atau anda pernah berselindung sesuatu dengannya? Selidik dan imbas semula satu persatu kesalahan yang pernah anda lakukan.
2. Perbetulkan mana yang silap – Dalam muhasabah diri itu, sudah semestinya anda akan jumpa beberapa kesilapan yang pernah anda lakukan. Perbetulkan kesilapan itu dan jangan ulanginya semula. Walaupun anda tahu si dia pun ada membuat kesilapan pada diri anda, tetapi perbetulkan terlebih dahulu diri anda sebelum anda membetulkan orang lain.
3. Memohon maaf dan sedia memaafkan – Setiap kesilapan yang dibuat, jika anda ada terkasar bahasa, terlepas kata, mohon maaflah kepada pasangan anda. Setiap insan sudah semestinya akan membuat kesilapan. Jalan yang terbaik adalah memohon maaf kepadanya. Namun begitu, anda juga perlu bersedia memaafkan pasangan anda sekiranya si dia memohon kemaafan. Janganlah berdendam hati atau menyimpan hasad dengki kerana ianya amat menyakitkan. Maafkanlah kesalahannya agar anda berasa lega dan terlepas daripada amarah dalam dada.
4. Jadikan apa yang berlaku untuk mematangkan perhubungan anda – Seperti yang saya katakan tadi, setiap yang berlaku sudah pasti ada hikmahnya. Pasti ada kebaikanya yang tersendiri. Ambil iktibar dari masalah ini agar ianya tidak berulang lagi dan dapat mematangkan perhubungan anda. Sekiranya perkara yang sama berlaku, ambil jalan yang betul untuk selesaikan masalah tersebut supaya ianya tidak menjadi parah dan semakin teruk.
Apabila ‘roda’ kembali ke atas
Saya tertarik untuk berkongsikan sebuah kata-kata yang dipetik dari filem Syurga Cinta,
“Kadang-kadang Allah sembunyikan matahari,
Dia datangkan petir dan kilat,
Kita tertanya-tanya ke mana hilangnya matahari,
Rupa-rupanya Allah memberi kita pelangi…”
Tidak semestinya kesulitan yang dialami itu akan kekal selama-lamanya. Sudah semestinya kita akan berjumpa dengan kesenangan dan kegembiraan.
Tetapi apabila anda berjaya keluar dari situasi ‘roda’ di bawah, jangan mudah lupa diri. Beringatlah ketika anda sedang bersedih, ketika anda berada di bawah. Jangan terlalu gembira dengan kesenangan yang diperoleh. Bersyukurlah kepada Allah swt kerana mengeluarkan anda daripada kesulitan yang dilalui.
Anda perlu ingat, roda sentiasa berputar. Akan tiba masanya juga, anda akan kembali semula ke bawah. Pada waktu itu, kegembiraan yang ada tidak bermakna lagi.
Oleh itu, walau di mana keadaan pun anda berada, beringatlah dan bersyukurlah kepada Allah swt. Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Gunakanlah peluang yang ada dengan sebaiknya. Mudah-mudahan perhubungan itu akan kekal dan bahagia selama-lamanya. InsyaAllah…
Credit Kepada : LINK NIE!!